LUMUT – Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengakui, pasukannya menempah laluan sukar untuk kekal dalam Liga Super musim depan apabila sekadar seri 1-1 dengan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), malam tadi.
Beliau berkata, pemain terutama jentera serangan pasukan gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan meskipun mendominasi perlawanan.
“Kalau begini memang sukarlah kerana pada kedudukan sekarang kemenangan amat penting dan saya memang harapkan jentera serangan tak mensia-siakan peluang yang ada,” katanya dalam sidang media sejurus selesai perlawanan.
Pada perlawanan itu, gol pasukan Felda United dijaringkan oleh S. Chanturu pada minit ke-52, manakala gol penyamaan PKNP FC pula disumbangkan pemain kebangsaan Palestin, Yashir Pinto pada minit ke-80.
Mengulas aksi menentang PJ City pada 21 Julai ini, Abu Bakar berkata PKNP FC perlu mengutip tiga mata penuh bagi mengelak tersingkir daripada Liga Super.
Sementara itu, ketua jurulatih Felda United, Mohd. Nidzam Jamil berkata, beliau akan memastikan pasukannya berjuang habis-habisan dalam baki dua perlawanan menentang Pahang selain Kedah pada 17 dan 21 Julai ini.
Katanya, meskipun kedua-dua perlawanan itu dianggap sukar namun hanya dengan kemenangan mampu mencerahkan peluang pasukannya untuk terus kekal dalam saingan Liga Super.
“Kita mungkin ada sedikit kelebihan sebab kita ada baki dua perlawanan lagi namun yang tak bagusnya kita nak jumpa Pahang dengan Kedah.
“Kedua-duanya aksi yang sukar sebab mereka juga perlukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan. Apa pun kita kena dapatkan tiga mata sekurang-kurangnya di antara kedua-dua perlawanan itu untuk kita berada dalam kedudukan yang selamat,” katanya. – BERNAMA











