PUTRAJAYA Julai – Sebanyak 167 atlet dari 33 negara akan berentap dalam Kejohanan Ski Air Dunia Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) di Pusat Sukan Air, Presint 6 di sini bermula 13 hingga 19 Ogos depan.
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan pada kejohanan tersebut iaitu trick, jump dan slalom.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, pertanding itu adalah kali ketiga diadakan PPj secara kerjasama dengan IWWF.
Jelasnya, pemilihan lokasi penganjuran pusat sukan itu bertepatan dengan kemudahan lengkap bertaraf antarabangsa dan sesuai untuk penganjuran pelbagai acara sukan air.
“Penganjuran kejohanan ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mempelbagai dan mengembangkan acara sukan air di peringkat antarabangsa dan tempatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pra Pelancaran Kejohanan Dunia Ski Air 2019 di sini hari ini.
Kejohanan Dunia Ski Air pertama di Putrajaya diadakan pada 2017 merekodkan sebanyak 132 penganjuran acara pelbagai peringkat dan menarik lebih 2.6 juta kehadiran pengunjung dan meningkat pada 2018 sebanyak 3.3 juta pengunjung. – UTUSAN ONLINE











