KOTA BHARU 7 Julai – Wajah Tengku Ridzwan Tengku Musa, 30, pemuda yang kudung sebelah kaki akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya, dua tahun lalu kelihatan cukup ceria.
Puncanya, dia bakal mengikuti Program Return To Work (RTW) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (TRRC), Melaka selama tiga bulan bermula hari ini.
RTW merupakan sebuah program pemulihan bagi membantu pencarum yang cedera, menghidapi penyakit, atau hilang upaya pulih semula dan membina hidup baharu.
Keceriaan pada wajah Tengku Ridzwan bertambah apabila dia menerima sumbangan kaki palsu yang baharu daripada pihak Perkeso bagi memudahkan pergerakannya tanpa bantuan orang lain.
Berkongsi kisahnya dengan wartawan hari ini, Tengku Ridzwan yang sebelum ini bekerja sebagai kontraktor bagi sebuah syarikat telekomunikasi mengakui, hampir putus harapan setelah kehilangan kaki kiri bermula paras lutut dalam nahas dua tahun lalu.
Kemalangan itu katanya, berlaku di Kampung Raja berhadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut pada 2017.
“Akibat kemalangan itu, saya mengalami patah tulang pinggul, kerosakan saraf dan patah tangan kiri serta kehilangan kaki dari paras lutut ke bawah. Ia bagaikan satu mimpi ngeri dalam hidup saya dan saya hampir putus harapan dalam hidup,” katanya.
Menurut Tengku Ridzwan, dia bersyukur kerana Perkeso menanggung sepenuhnya kos bagi pemasangan kaki palsu dan menerimanya untuk menyertai program pemulihan di Melaka.
“Selepas program pemulihan ini, saya akan kembali bekerja demi menyara keluarga,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Tengku Ridzwan ditemui pemberita ketika Majlis Penyampaian Kerusi Roda dan Penghantaran Orang Berinsurans (OB) ke TRRC di pejabat Wisma Perkeso, di sini hari ini.
Selain Tengku Ridzwan, seorang lagi OB, Azmi Mohd Zain, 44, yang diserang angin ahmar turut berlepas ke RTTC bagi menjalani rawatan dan program pemulihan intensif selama tiga bulan.
Sementara itu, Pengarah Perkeso, Nora Yaacob berkata, berdasarkan rekod tahun lalu, seramai 63 OB berjaya bekerja semula selepas menjalani program pemulihan.
Tambah beliau, setakat enam bulan pertama tahun ini pula, seramai 33 OB berjaya kembali ke alam pekerjaan selepas menjalani program pemulihan. -UTUSAN ONLINE











