KUALA LUMPUR – Perhimpunan ‘Desak Menteri LGBT Letak Jawatan’ yang diadakan di hadapan Pusat Membeli-belah Sogo, di sini hari ini tidak mendapat kebenaran daripada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, sekiranya perlu, pihaknya akan memanggil Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mengetuai perhimpunan tersebut.
“Perhimpunan yang diadakan kira-kira pukul 5 petang tadi itu dianjurkan Sekretariat Suara Rakyat untuk mendesak Datuk Seri Azmin Ali meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
“Penganjur bagaimanapun gagal memberikan notis kepada pihak polis sepertimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Mohd. Fahmi, perhimpunan tersebut disertai kira-kira 30 orang dan pihaknya telah menempatkan anggota yang secukupnya bagi memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku. – UTUSAN ONLINE











