KUANTAN 8 Julai – Hasrat seorang juruteknik untuk bercuti ke Rome, Itali tidak kesampaian apabila tiket penerbangan yang ditempahnya dengan harga RM28,510 tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 27 Jun lalu, mangsa berurusan dengan seorang ejen dari sebuah syarikat agensi pelancongan untuk tempahan tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Rome.
“Mangsa mengenali ejen itu sejak 2017 dan berurusan dengannya bagi trip pelancongan yang lain sebelum ini. Mangsa memindahkan wang berjumlah RM28,510 bagi tiga tiket kelas perniagaan pergi dan balik dari Kuala Lumpur-Rome-Kuala Lumpur.
“Selepas memindahkan wang, mangsa mendapat maklum balas daripada ejen itu yang menyatakan tempahan telah dibuat dan ejen itu menghantar dokumen tempahan kepada pengadu melalui email dan aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, isteri mangsa membuat semakan dengan pihak Emirates bagi mengesahkan penerbangan tersebut dan mendapati tempahan tidak wujud.
“Mangsa mendapatkan maklum balas daripada ejen itu, namun dia tetap menyatakan tempahan telah dibuat.
“Mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam kerana berasakan dditipu oleh ejen itu,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE











