Perak paling ramai penduduk berumur lebih 60 tahun - Utusan Malaysia

Perak paling ramai penduduk berumur lebih 60 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 29 Julai – Perak mempunyai bilangan penduduk yang berumur lebih 60 tahun paling ramai di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata, sebanyak 14.9 peratus daripada 2.5 juta penduduk negeri ini berusia lebih 60 tahun.

Kata beliau, jumlah itu melebihi kadar tujuh peratus seperti ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perak, Pulau Pinang, Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan dianggap sebagai ‘negeri pesara’ kerana peratusan penduduknya yang berusia 60 tahun ke atas melebihi tujuh peratus dan Perak menduduki tangga teratas.

“Mereka terdiri daripada penduduk kelahiran negeri ini dan penduduk dari luar Perak yang bekerja dan bersara di sini.

“Ini menunjukkan Perak menjadi destinasi pilihan untuk bersara,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Jasa Mu Dikenang di sini hari ini.

Majlis tersebut meraikan 250 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan serta agensi negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun yang bersara di antara bulan Julai hingga Disember tahun lalu.

Ahmad Faizal meminta pesara kerajaan supaya menggunakan pengalaman mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain menjaga kesihatan.

Kata beliau, pesara kerajaan boleh mencontohi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempunyai kesihatan yang baik biar pun sudah berusia 94 tahun.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) sedang merangka program khas untuk pesara melakukan aktiviti riadah dengan mengambil model penjagaan kesihatan yang diamalkan oleh rakyat Jepun.

“Kita akan mengadakan pertukaran pegawai dengan bandar raya Fukuoka untuk mengajar kita apa program yang boleh dilakukan supaya pesara dapat meneruskan aktiviti yang sesuai dengan usia mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini