BESUT 14 Julai – Seorang penyelia keselamatan maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik dalam kejadian di Kampung Padang Landak, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Mohd. Ash Shahid Abdul Wahab, 25, yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala empat penumpang lain termasuk tunangnya, Nor Najihah Mohamaf, 21, dan ahli keluarga wanita itu yang berusia antara 11 tahun hingga 57 tahun mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rawi berkata, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gong Bayor di sini dari Kota Bharu, Kelantan namun, setiba di lokasi kejadian kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar tiang lampu di situ.
Katanya, difahamkan mangsa cuba mengelak dari melanggar dahan pokok yang jatuh di atas jalan ketika hujan lebat itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor kira-kira pukul 12.30 malam tadi manakala mereka yang cedera menerima rawatan di Hospital Besut.
Sementara itu Najihah reda dengan ketentuan Ilahi walaupun kedua-duanya telah merancang untuk berkahwin pada 19 September depan selepas mereka bertunang pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
Dia yang merupakan tenaga pengajar Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) berkata, mereka telah membelanjakan kira-kira RM2,000 sebagai persiapan majlis perkahwinan yang dirancang itu. – UTUSAN ONLINE











