BESUT – Seorang penyelia keselamatan yang bakal melangsungkan perkahwinan dua bulan lagi maut selepas kenderaan pacuan empat roda, Nissan Navara turut dinaiki bersama keluarga tunangnya terlibat dalam kemalangan di Kampung Padang Landak di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Mohd. Ash Shahid Abdul Wahab, 25, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, tunang mangsa, Nor Najihah Mohamad, 21, dan tiga lagi ahli keluarga wanita itu berusia 11 hingga 57 tahun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Sewaktu kejadian mangsa yang memandu kenderaan pacuan empat roda itu dalam perjalanan bersama keluarga tunangnya ke rumahnya di Kampung Gong Bayor di sini dari Kota Bahru, Kelantan.
“Kenderaan pacuan roda dipandu mangsa cuba mengelak dahan pokok yang jatuh di tengah jalan raya sehingga menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di laluan bertentangan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Zamri berkata, kemalangan itu berlaku dalam keadaan jalan sedikit licin kerana hujan lebat. – K! ONLINE











