ALOR SETAR 8 Julai – Penyatuan antara dua parti politik terbesar orang Melayu, UMNO dan Pas dilihat relevan bagi menghadapi situasi politik negara yang mencabar di samping sebagai platform terbaik kaum itu mengekal dan meneruskan aspirasi mereka pada masa depan.
Ini termasuklah meneruskan agenda dan kuasa orang Melayu sebagai penduduk yang dominan di negara ini tetapi pada masa sama tidak mengenepikan hak-hak dan kebajikan bukan Melayu.
Menurut ahli UMNO, Syed Agil Syed Azizi, 35, berbanding Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP, parti UMNO dan Pas adalah lebih diyakini untuk menjamin kepentingan orang Melayu.
“Sejarah membuktikan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO, hak-hak bukan Melayu tetap terpelihara dan begitu juga golongan itu di Kelantan semasa di bawah pentadbiran Pas,” katanya.
Ahli Puteri UMNO, Nur Naajla Shafyqa Abdul Mutalib, 24, pula berkata, kerjasama kedua-dua parti berkenaan perlu berlaku untuk kebaikan bersama orang Melayu dan Islam.
“Harapan saya adalah semoga penyatuan ini dapat kembalikan Melayu di dalam sebuah kapal yang sama. Tidak salah kita duduk seiring bersama untuk menguatkan semula bangsa Melayu di bawah satu payung.
“Saya melihat penyatuan ummah di bawah UMNO-PAS ini adalah pemangkin untuk kita kembali kepada penyatuan Melayu,” katanya.
Mengulas lanjut, Nur Naajla berkata, semua pihak tidak perlu bermusuhan sesama bangsa dan agama sebaliknya memikirkan masa depan generasi akan datang.
“Kita perlu fokus kepada penyatuan ummah selain tidak mahu berlakunya perpecahan kaum memandangkan kita perlu hidup harmoni bersama kaum India, Cina dan lain-lain,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang lagi ahli akar umbi, Che Ani Abu Bakar, 40, berkata, penyatuan antara UMNO dan Pas merupakan landasan tepat bagi mengembalikan pemerintahan Melayu Islam.
Katanya, banyak faktor yang memerlukan kerjasama itu dilaksanakan segera termasuk ketidaksepakatan dalam kerajaan hari ini.
“Memang perlu penyatuan ummah UMNO dan Pas bagi memastikan hak-hak Melayu dan Islam terus terbela disamping kaum lain dapat hidup dengan suasana yang aman dan harmoni seperti di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











