Penunggang motosikal, pemandu lori maut nahas 5 kenderaan - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal, pemandu lori maut nahas 5 kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 2 Julai – Seorang penunggang motosikal warga emas dan pemandu lori maut selepas kenderaan masing-masing terlibat dalam nahas membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 220, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, selepas sempadan Negeri Sembilan-Melaka dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, Rahim Shafie, 66, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash dan Zainal Jasman, 28, pemandu lori penghantar barang meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami di kepala dan badan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri (JSPT), Superintenden Hasan Basri Yahya, kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal itu menghala dari arah ibu negara ke selatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, warga emas itu dipercayai terlanggar objek besi di laluan lebuh raya menyebabkan dia terjatuh di lorong paling kiri.

“Mangsa kemudian dirempuh oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti dan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah, manakala motosikalnya dilanggar oleh sebuah Proton Inspira yang gagal mengelak.

KEADAAN motosikal jenis Honda Dash ditunggang seorang warga emas, Rahim Shafie yang terlibat dalam k
KEADAAN motosikal jenis Honda Dash ditunggang seorang warga emas, Rahim Shafie yang terlibat dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan dan turut menyebabkan dia dan seorang pemandu lori meninggal dunia di Kilometer 220, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Alor Gajah, Melaka awal pagi ini. – UTUSAN ONLINE/Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka

“Sebuah treler dari arah belakang yang ternampak kemalangan itu sempat memberhentikan kenderaannya, namun lori penghantar barang yang datang kemudian tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang treler tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berikutan itu, kata Hasan, pemandu lori penghantar barang yang merempuh belakang treler turut meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

Beliau berkata, mayat kedua-dua lelaki itu dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini