KUALA LUMPUR 9 Julai – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam nahas jalan raya di Jalan Sena Senadin, Miri, Sarawak, hari ini.
Portal Utusan Borneo melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, Tiong Ing Sing, 54, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terbabit kemalangan pada pukul 3.10 pagi.
“Mangsa berasal dari Kampung Hilir, Kanowit dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari pusat bandar.
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo, hari ini.
Menurut Alexson, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian seterusnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
“Tiada ada laporan kenderaan atau mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.” jelasnya.-UTUSAN ONLINE











