Pengusaha ketum pindah operasi ke kawasan hutan  - Utusan Malaysia

Pengusaha ketum pindah operasi ke kawasan hutan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR – Polis mengesan taktik baharu pengusaha ketum yang menjadikan kawasan hutan berhampiran kampung untuk menjalankan kegiatan membungkus dan memasak tumbuhan tersebut sebelum diseludup atau dipasarkan secara haram.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, pengusaha ketum didapati tidak lagi beroperasi di rumah kerana bimbang diserbu pihak berkuasa.

“Mereka akan masuk ke kawasan hutan menggunakan kenderaan masing-masing dengan membawa daun ketum serta peralatan memasak dan membungkus daun tersebut seperti plastik dan periuk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semua proses akan dilakukan di lokasi itu sebelum daun ketum yang siap dibungkus diseludup ke Thailand manakala cecair tumbuhan dijual di pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar di sini hari ini.

Kata beliau, rata-rata pengusaha mengubah lokasi pemprosesan susulan serbuan ulangan yang kerap dilakukan pihak berkuasa di rumah yang pernah diserbu atas kesalahan sama sebelum ini.

“Kita akan terus mengesan kegiatan itu di hutan-hutan berhampiran kawasan kampung seperti Felcra Lubuk Sireh, Kampung Melayu dan Kampung Baru yang mana mereka juga didapati sering berpindah kawasan operasi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Halim, daun ketum yang siap dibungkus itu kebiasaannya akan diseludup ke negara jiran oleh pihak lain melalui kawasan hutan di sempadan Malaysia-Thailand.

“Selain melalui hutan, kita turut mengesan modus operandi baharu penyeludupan daun ketum menggunakan treler yang berlaku pada bulan lalu,” jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kata beliau, polis bersama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 42,909 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM429,095 bermula pada Januari lalu hingga bulan lalu.

“Cecair ketum yang dirampas pula sebanyak 2,689 bernilai RM26,896 dan 297.75 liter cecair kodein (ubat batuk) bernilai RM29,775,” katanya.

Kata beliau, tangkapan di bawah kesalahan ketum melibatkan seramai 155 orang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini