Penganjur Don't Let Usman Awang Know biadab - Utusan Malaysia

Penganjur Don’t Let Usman Awang Know biadab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Julai – Anak Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang kecewa dengan tindakan penganjur drama pendek, ‘Don’t Let Usman Awang Know’ kerana mengabaikan penggunaan bahasa Melayu dalam menghasilkan rekaan poster karya tersebut.

Haslina Usman berkata, beliau faham pementasan drama di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) dalam pelbagai bahasa tetapi persoalannya mengapa penganjur tidak boleh menggunakan bahasa Melayu dalam poster tersebut.

Tambah beliau, penganjur sepatutnya menghormati pendirian dan perjuangan Allahyarham Usman dalam memartabatkan bahasa Melayu selain statusnya sebagai Sasterawan Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami waris ayah, Sasterawan Negara Usman Awang tidak puas hati dan kecewa atas rekaan poster pementasan ‘Don’t Let Usman Awang Know’. Kami tahu ia adalah pementasan berbagai bahasa, oleh itu mengapa bahasa Melayu tidak ada dalam poster tersebut?

“Kami mohon ada terjemahan tajuk ‘Don’t Let Usman Awang Know’ dalam bahasa Melayu, sari kata dalam bahasa Melayu dalam semua pementasan yang berbahasa lain daripada bahasa Melayu,” katanya dalam status akaun Facebook miliknya, hari ini.

Drama pendek itu bakal ditayangkan di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) pada 11 hingga 14 Julai ini.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr. Radzuan Ibrahim @ Wanrazuhar menyifatkan penganjur drama pendek itu sebagai sangat biadab kerana gagal menggunakan bahasa kebangsaan dalam penghasilan poster promosi karya tersebut.

Kata beliau, penganjur drama pendek itu sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Cina dan Inggeris tetapi bukan bahasa Melayu pada poster tersebut.

“Penggunaan nama Allahyarham Seniman Negara Datuk Usman Awang dalam poster tersebut tanpa menggunakan bahasa Melayu sangat janggal, biadab, tidak boleh diterima dan tidak menghormatui bahasa kebangsaan.

“Allahyarham Seniman Negara Usman semasa hayatnya adalah seorang pejuang bahasa Melayu, sungguh pun begitu bahasa-bahasa lain di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussein melontarkan beberapa persoalan kepada pengikutnya di Facebook berhubung rekaan poster tersebut.

Katanya, beliau tidak terkejut jika semua pihak tidak terasa dengan rekaan poster itu kerana memang sesetengah orang Melayu bersikap demikian sambil menyindir secara sinis supaya menyokong drama pendek itu.

“Apakah yang kita fikir dan rasa apabila poster seperti ini dengan selamba menjadi tontonan umum? Apakah mesej poster ini selain persembahan karya Sasterawan Negara Usman Awang?

“Apakah ini membawa maksud bahasa kebangsaan sudah dilongkangkan dan ironinya dengan memperagakan karya pejuang bahasa Melayu yang menulis puisi Keranda 152?” katanya.

Antara yang turut terlibat dalam pembikinan drama pendek itu adalah Joe Hasham selaku Pengarah Artistik dan Easee Gan selaku Penerbit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini