Penganggur curi duit tabung masjid RM93 dihukum penjara 6 bulan - Utusan Malaysia

Penganggur curi duit tabung masjid RM93 dihukum penjara 6 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 5 Julai – Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri wang tabung masjid berjumlah RM93, Isnin lalu.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Mohd. Nor Azizi Mohd. Nasir, 24, selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Hukuman penjara itu ditetapkan bermula dari tarikh tangkapan tertuduh iaitu pada 1 Julai lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri dan memiliki harta curi wang kertas RM1 sebanyak 93 keping di Masjid Jamek, Medan Klebang Restu, Chemor di sini pada pukul 8.30 malam, 1 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua serta seterusnya, tertuduh juga boleh dipenjara dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad manakala tertuduh diwakili peguam bela, EP Sittan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan curi itu disedari dua jemaah masjid sebelum mereka berdua menangkap dan menyerahkan tertuduh kepada pihak polis.

Hasil pemeriksaan polis pula menemukan sejumlah wang kertas RM1 berada di dalam poket tertuduh. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini