Penduduk tersepit, rumah dibeli terbengkalai sejak 10 tahun lalu - Utusan Malaysia

Penduduk tersepit, rumah dibeli terbengkalai sejak 10 tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Kira-kira 15 penduduk termasuk seorang tuan tanah bagai jatuh ditimpa tangga apabila 58 unit rumah idaman yang dibeli di projek perumahan Taman Perumahan Jaza Idaman, Cherang Ruku di sini terbengkalai sejak 10 tahun lalu.

Lebih menyedihkan, ekoran kelewatan pembinaan rumah tersebut, para pembeli terpaksa menanggung hutang bank melalui potongan gaji bulanan selama tempoh berkenaan.

Seorang pembeli, Abdul Rani Ibrahim, 52, berkata, kebanyakan pembeli terpaksa menanggung kos pembayaran pembelian rumah itu di antara RM88,000 hingga RM130,000 berdasarkan jenis rumah yang dibeli.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Gaji saya dipotong sebanyak RM492 setiap bulan. Sehingga kini, potongan sudah hampir mencecah RM40,000 namun rumah yang dibeli itu hanya dikelilingi semak-samun dan terbiar. Banyak barangan besi sudah dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah tiga tahun pencen askar terpaksa menyewa rumah di Tanah Merah dengan kadar RM350 sebulan dan kalau dicampur dengan pemotongan berkala saya terpaksa menanggung kos hampir RM1,000 setiap bulan,” katanya ketika ditemui di tapak projek perumahan tersebut di sini, hari ini.

KEADAAN rumah Taman Jaza Idaman yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu di Cherang Ruku, Pasir P
KEADAAN rumah Taman Jaza Idaman yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan. Foto oleh TOREK SULONG

 

Mereka berkumpul di tapak perumahan berkenaan untuk meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pertahanan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka sejak sekian lama.

Difahamkan projek berkenaan terbengkalai selepas syarikat pertama yang mengendalikan projek itu diisytiharkan muflis dan ia diserahkan kepada syarikat pembinaan baharu oleh mahkamah sejak tiga tahun lalu namun masalah itu tetap berlarutan.

Seorang lagi pembeli, Mohd. Suhaimi Jaafar, 39, yang juga anggota tentera di Kem Gong Kedak berkata, harapannya untuk tinggal di rumah sendiri selepas bersara nanti masih kabur.

“Pengurusan syarikat baharu yang mengambil alih projek itu gagal memberi keyakinan kepada pembeli dan tidak menjalankan sebarang usaha membangunkan semula rumah-rumah yang terbengkalai.

“Usaha menjejaki pengurusan syarikat berkenaan di Petaling Jaya, Selangor telah dilakukan oleh pembeli namun pihak pengurusan atasan syarikat itu enggan menemui kami,” katanya.

Pemilik tanah berkenaan, Mat Nor Umat, 76, mendakwa beliau turut kerugian beratus ribu ringgit kerana tidak menerima sebarang bayaran selepas surat kuasa membangunkan tanahnya seluas 1.84 hektar itu ditandatangani sejak tahun 2010.

“Saya juga dijanjikan dengan pemberian 33 unit rumah teres namun menerima nasib yang sama apabila projek pembinaannya terbengkalai hingga sekarang.

“Dengan keluasan tanah ini saya boleh beroleh RM700,000 sekiranya dijual pada kadar nilaian semasa. Namun, saya juga tersepit dengan perkara ini kerana telah menandatangani surat jual beli tanpa bayaran dan memberi kuasa kepada syraikat perumahan berkenaan untuk membangunkannya,” katanya.

Dalam pada itu, selain pembeli di projek perumahan Taman Perumahan Jaza Idaman, hampir 200 pembeli di Taman Perumahan Jaza Seri Pasu di sini turut menerima nasib sama.

Mereka menggesa pihak kerajaan membantu usaha menyiapkan semula pembinaan rumah mereka yang terbengkalai lebih 10 tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini