IPOH 21 Julai – Khidmat Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan untuk membawa turun seorang pendaki wanita yang cedera di lutut ketika menuruni Gunung Korbu di sini hari ini.
Difahamkan, wanita berusia 31 tahun itu bersama 12 rakannya melakukan aktiviti mendaki gunung berkenaan sejak kelmarin namun semasa mahu menuruni gunung tersebut, mangsa mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 1 pagi dengan menggerakkan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) dan Unit Multi Skill Team (MUST Team) ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan tersebut telah dibahagikan kepada dua di mana satu pasukan berada di kaki gunung manakala satu lagi kumpulan berada di padang Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra.
“Pasukan tersebut bergerak ke kaki gunung dan meneruskan pendakian ke Gunung Korbu untuk ke Kem Seroja yang menempatkan mangsa.
“Khidmat sebuah helikopter dari Unit Udara Bomba jenis AW 139 telah dipohon dan pasukan itu berlepas dari Pengkalan Udara Subang ke Gunung Korbu pada pukul 1.28 petang,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa dijumpai pada pukul 4.41 petang pada ketinggian 600 meter dari kaki Gunung Korbu dan dinaikkan ke dalam helikopter dengan menggunakan teknik ‘winching’.
Katanya, mangsa yang tiba di padang Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra kira-kira 20 minit kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.
“Operasi membawa keluar mangsa melibatkan 33 anggota termasuk enam orang daripada Unit Udara Bomba,” katanya.-UTUSAN ONLINE











