KUALA LUMPUR 6 Julai – Sebanyak 1,138 pesakit direkodkan berhubung kejadian pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor bermula 20 Jun sehingga semalam dan tiada kes baharu dicatatkan setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, 1,093 menerima rawatan pesakit luar dan 45 orang dimasukkan dalam wad.
Beliau berkata, sejumlah 723 orang termasuk kanak-kanak menerima khidmat bantuan awal psikososial.
“Pelajar didapati menunjukkan gejala sukar bernafas dan rasa loya. Tiada kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan. Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial telah menjalankan saringan kesihatan mental terhadap mangsa.
“Mereka merasa takut akan mengalami perkara sama seperti yang pernah dialami dahulu. Gejala dialami pelajar-pelajar ini dianggap reaksi normal kerana telah melalui pengalaman trauma. Mereka telah ditenangkan dengan baik oleh anggota kesihatan bertugas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, sebanyak 470 pelajar diberi rawatan psikososial dan daripada jumlah itu, seramai 231 dikesan mengalami gejala keresahan.
“Daripada jumlah tersebut pula, hanya 22 pelajar daripada 11 buah sekolah dirujuk kepada pakar perubatan keluarga dan pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.
“Selebihnya diberikan kaunseling. Berdasarkan pendedahan, gejala, taburan sekolah dan penilaian psikososial, tiada kejadian ‘masspsychogenic hysteria’ dikesan,” ujarnya.
Tambah Dzulkefly, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di tempat kejadian dan menasihati orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.- UTUSAN ONLINE











