Pencemaran udara Pasir Gudang, keadaan masih terkawal - Exco - Utusan Malaysia

Pencemaran udara Pasir Gudang, keadaan masih terkawal – Exco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 8 Julai – Tiada pesakit baharu dimasukkan ke wad dan hanya seorang mangsa masih mendapatkan rawatan saringan di Klinik Kesihatan Masai di sini setakat pukul 4 petang ini, akibat pencemaran udara di Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, keadaan buat masa ini masih terkawal.

Menurutnya, secara keseluruhan, pemantauan berterusan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan ke atas 221 premis industri bagi kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada jumlah itu, sebanyak 116 kompaun membabitkan kesalahan buangan terjadual, efluen perindustrian (10 kompaun), notis arahan (53 notis) dan kumbahan tangki septik (satu kompaun) dikeluarkan.

“Selain itu, sebanyak 11 premis industri diberi perintah tahan operasi dan tiga premis disyorkan untuk diambil tindakan mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Khuzzan berkata, pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) juga memutuskan untuk melanjutkan tempoh pemantauan kualiti udara di 111 buah sekolah di Pasir Gudang.

Susulan itu, katanya, pihak JAS membuat penyerahan semula MultiRAE Gas Detector kepada pihak sekolah terbabit untuk digunakan sehingga 13 Julai ini.

“Orang ramai yang melihat atau mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkenaan pembuangan sisa toksik secara haram di kawasan mereka boleh terus membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1800882727 atau melalui eaduan.doe.gov.my.

“Sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat, sila hubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di talian 07-2511 024,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini