KUALA LUMPUR 21 Julai – Selepas tiga Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas ekoran pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor, terkini langkah sama terpaksa diambil di LRA Rantau Panjang ekoran pencemaran minyak diesel.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata,pencemaran diesel tersebut dikesan di bahagian muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 (LRA SSP1,SSP2 dan SSP3) serta LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.
“Ekoran pencemaran tersebut, LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada pukul 6 petang hari ini. LRA SSP3 pada pukul 8 malam dan LRA SSP1 serta LRA SSP2 pada pukul 8.15 malam.
“Laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa dan punca pencemaran adalah disebabkan oleh kerja-kerja mengorek pasir di hulu sungai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Raof, insiden tersebut adalah kali kedua dalam tempoh tiga hari yang melibatkan penutupan keempat-empat LRA utama yang menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar.
“Pihak kami tidak dapat memastikan jangka masa pemulihan sekiranya pencemaran air mentah kembali berulang dan langkah berjaga-jaga turut diambil bagi mengahadapi sebarang kemungkinan seperti yang berlaku hari ini,” ujarnya.
Orang ramai boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook Air Selangor atau Twitter Air Selangor bagi mendapatkan maklumat yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – UTUSAN ONLINE











