KOTA BHARU – Ahli-ahli UMNO digesa supaya menghentikan pertelingkahan sesama sendiri di laman sosial yang pastinya akan membawa mudarat yang lebih besar kepada parti itu.
Malah Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor turut menggesa pimpinan tertinggi parti itu supaya mengambil tindakan keras kepada mereka yang telibat.
Beliau berkata, tindakan tersebut termasuk ahli Majlis Tertinggi yang mengeluarkan pernyataan berbaur hasutan dan menjatuhkan aib pemimpin parti di media sosial.
“Perlu diingat, sokongan rakyat akan kembali apabila parti kita dilihat sebagai pejuang isu-isu kebajikan mereka dan parti perlu berada dalam keadaan stabil.
“UMNO perlu kekal menyantuni dan menyelami suara hati rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Hariri berkata, pihaknya menyokong kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyeru semua pihak supaya tidak hilang fokus terhadap kebobrokan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Malah katanya, Pemuda UMNO negeri ini akan terus kekal istiqamah dengan agenda besar penyatuan ummah dan kerjasama UMNO-Pasyang diyakini satu formula terbaik bagi mengembalikan kegemilangan pemerintahan Islam di negara ini tanpa menjejaskan hak agama dan kaum lain mengikut aturan Perlembagaan Persekutuan.
“Kami tidak terkesan dengan cubaan untuk merosakkan parti ini dari dalam menggunakan ejen-ejen dan proksi.
“Ini kerana kami tahu bahawa rejim PH-DAP ini sudah kehabisan modal untuk memancing sokongan rakyat kepada kerajaan melainkan memecahkan kekuatan parti pembangkang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











