Pemilihan Kafa: G7 enggan dabik dada - Utusan Malaysia

Pemilihan Kafa: G7 enggan dabik dada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Gabungan tujuh persatuan bola sepak jajahan (G7) enggan mendabik biarpun di atas kertas calon pilihan mereka untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dilihat mampu menang mudah.

Ini mengambil kira hanya 47 perwakilan daripada sembilan PBJ dan Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK) serta Persatuan Bola Sepak Cina Kelantan (KCFA) yang akan mengundi pada kongres luar biasa (EGM) persatuan tersebut Sabtu ini.

Setiap PBJ menghantar lima perwakilan manakala PBSMK dan KCFA masing-masing hanya seorang wakil untuk memilih.

Memuatkan artikel berkaitan…

G7 mencalonkan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sebagai presiden dan menamakan semula Datuk Seri Afandi Hamzah sebagai timbalan presiden.

Jurucakap G7, Kamarudin Ahmad berkata, biarpun 35 perwakilan adalah ‘milik’ mereka namun langkah berhati-hati tetap diambil.

“Di atas kertas memang lihat kumpulan kami mempunyai peluang cerah namun kami tidak mahu mendabik dada dan akan tetap berjaga-jaga.

“Dua lagi calon juga hebat. Cuma kami di PBJ telah mempunyai pelan perancangan untuk jangka panjang untuk Kafa bermula daripada akar umbi sehingga mungkin menjadi persatuan pertama yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 20 Jun lalu, beliau yang mewakili tujuh ahli gabungan Kafa menyerahkan memorandum mendesak badan induk itu mengadakan EGM secepat mungkin selepas Bibir Ramjani Illias Khan meletakkan jawatan sebagai presiden.

Wan Abdul Rahim akan dicabar ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Ab Aziz dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman untuk menduduki kerusi No. 1 Kafa.

Kamarudin Yang Dipertua PBJ Tanah Merah berkata, calon-calon mereka menggabungkan kepakaran individu daripada setiap bidang dalam memastikan perjalanan persatuan tersebut sempurna.

“Dalam pasukan G7, kita ada tokoh politik, ahli akademik, ahli perniagaan, kontraktor, bekas pemain, jurulatih, jurutera dan mewakili setiap umur.

“Kita tidak mahu bola sepak hanya dilihat oleh pemain sahaja kerana ‘penglihatan’ ahli politik terhadap bola sepak berbeza daripada ahli perniagaan. Ahli perniagaan pula melihat dari aspek untung rugi. Dan setiap daripada mereka akan saling melengkapi,” katanya.

Tambahnya, biarpun siapa pun menang, beliau amat berharap supaya kepemimpinan baharu akan membantu PBJ untuk membangunkan bola sepak dari akar umbi bagi melahirkan pemain-pemain berbakat.

Semalam kumpulan Amril Aiman mengesahkan senarai calon yang tular sejak Selasa lalu adalah pasukan mereka yang dikenali DSA A8.

Namun sehingga kini pergerakan Abdul Rashid senyap dan tidak terlalu menonjol seperti dua kem itu.

Senarai calon Pasukan G7:

Presiden

Wan Abdul Rahim Wan Abdullah

Timbalan Presiden

Datuk Seri Afandi Hamzah

Naib Presiden

Datuk Mohd. Rowi Dollah

Datuk Shaari Mat Hussain

Profesor Dr. Zaliman Sauli

Exco

Datuk Azman Ismail

Datuk Ir. Shamin Fahmin Hassan

Wan Rakimin Wan Zahari

Dr. Hanapi Ismail

Zahari Kechik

Amir Ramadan Ibrahim

Muhammad Nuzulhan Muhammad Zain

Mohd. Zulhazmi Hassan

Ahmad Muzakir Hamid

Zakri Mat Zin @ Mohd. Zain – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini