MELAKA – Peruntukan sebanyak RM137,650 disediakan kerajaan negeri bagi meraikan serta menghargai kecemerlangan 683 pelajar dan lapan sekolah pada peperiksaan utama tahun lalu.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, daripada peruntukan itu, RM127,150 diberikan kepada pelajar cemerlang manakala bakinya RM10,500 disalurkan kepada lapan buah sekolah cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Menurutnya, penganugerahan ini merupakan usaha selaras hasrat kerajaan negeri memberi suntikan motivasi kepada pelajar agar mereka dapat mengekalkan momentum kecemerlangan dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan juga sahsiah diri.
“Sebagai peneraju dan pemimpin masa hadapan, mereka perlu berjiwa besar dan sentiasa berfikir di luar kotak serta celik Revolusi Industri Keempat (4.0) agar terus berdaya saing,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sekolah dan Pelajar Cemerlang UPSR, SPM, STPM dan STAM 2018 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi negeri, Noor Effandi Ahmad; Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka, Azrin Ab. Majid.
Kesemua 683 pelajar cemerlang itu terdiri daripada 365 pelajar UPSR, 270 pelajar SPM, 28 pelajar STPM dan 20 pelajar STAM.
Jelas Adly, beliau berharap setiap sekolah tidak boleh terkecuali daripada menyediakan peluang pembelajaran yang berkualiti dan bertaraf dunia dalam usaha melahirkan pelajar berdaya saing.
“Saya harap setiap sekolah mempunyai hala tuju yang jelas dan memastikan segala bentuk perancangan dan pelaksanaan program pendidikan seiring keperluan semasa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











