TANJUNG MALIM 21 Julai – Seorang pekerja kedai makan ditahan bersama 64 botol mengandungi 88.75 liter air ketum dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Haruan, Taman Bernam di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berusia 47 tahun itu diberkas pada pukul 3 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya merampas enam bekas polistren yang mengandungi botol-botol plastik minuman yang dipercayai air ketum.
“Pemeriksaan di dalam bekas polistren itu mendapati terdapat 35 botol plastik dengan isi padu 1.5 liter setiap satu dan 29 botol lagi mengandungi 1.25 liter air ketum.
“Hasil soal siasat ke atas suspek menyatakan bekalan ketum itu diperolehi dari Teluk Intan dan akan diambil sebulan sekali dengan anggaran berat sebanyak 10 kilogram,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, nilai rampasan air ketum itu dianggarkan sebanyak RM640 dan pemeriksaan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara tidak melebihi empat tahun,” katanya.-UTUSAN ONLINE











