KUALA KANGSAR 6 Julai – Seorang pekerja syarikat pembalakan maut dihempap dahan pokok yang dianggarkan berukuran lilit 40 sentimeter di kawasan pembalakan berlesen di Sungai Akar dekat Sayong di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi itu menyebabkan Chan Kok Loi, 63, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika tiba di hospital bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, kejadian disedari oleh penyelia syarikat berkenaan apabila salah seorang pekerja yang menyaksikan insiden tersebut memaklumkan kepadanya.
Beliau berkata, ekoran kejadian itu, penyelia berkenaan bersama pekerja lain segera bertindak mengeluarkan mangsa dan membawanya ke Hospital Kuala Kangsar dengan menaiki Toyota Hilux milik syarikat.
Menurut beliau, jarak perjalanan dari tempat kejadian ke hospital tersebut mengambil masa selama hampir sejam dengan melalui jalan tanpa berturap.
“Selain temu bual dengan penyelia, salah seorang saksi iaitu anak mangsa sendiri ketika itu sedang memandu jentera excavator kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
“Satu dahan kayu besar jatuh dan menimpa mangsa. Anak mangsa dan pekerja berdekatan cuba menyelamatkan mangsa dengan mengangkat dahan tersebut setelah ia dipotong,” katanya di sini hari ini.
Razali berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mengesahkan punca kematian adalah disebabkan oleh kecederaan parah di kepala.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE











