Pegawai KPDNHEP, Majlis Daerah Yan ditahan kes rasuah kilang baja - Utusan Malaysia

Pegawai KPDNHEP, Majlis Daerah Yan ditahan kes rasuah kilang baja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI – Seorang pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan tiga pegawai Majlis Daerah Yan (MDY) ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada kilang baja tidak berlesen di Yan dekat sini pada tahun lalu.

Pegawai KPDNHEP yang berusia 37 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di Alor Setar manakala tiga lagi yang berusia 50, 53 dan 54 tahun ditahan di majlis daerah tersebut.

Penahanan dilakukan antara pukul 12 tengah hari hingga 1 petang semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesemua suspek kemudian dibawa ke Kompleks Mahkamah Sungai Petani kira-kira pukul 9.45 pagi tadi untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Mohammad Alif Abdul Aziz memerintahkan semua suspek direman selama enam hari mulai hari ini.

Menurut sumber, pegawai KPDNHEP yang bertugas di pejabat Anak Bukit, Alor Setar didakwa menerima wang sebanyak RM11,000 dan sebuah telefon bimbit bernilai RM1,300 daripada pengusaha kilang baja tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan suspek sebagai dorongan bagi membantu mempercepatkan proses permohonan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan.

Sementara bagi kes tiga pegawai MDY, mereka didakwa menerima sejumlah RM4,600 daripada kilang baja yang sama antara Ogos hingga September 2018.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan untuk memproses permohonan lesen kilang baja walaupun mengetahui bangunan kilang tidak memenuhi spesifikasi sebagai sebuah kilang.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan empat suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini