KEMAMAN – Jenayah pecah rumah di daerah ini meningkat sebanyak 85 peratus kepada 37 kes dari Januari hingga semalam berbanding 20 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, bagaimanapun jenayah curi motosikal mencatatkan penurunan daripada 54 kes tahun lalu kepada 44 kes tahun ini.
Katanya, sehingga Jun lalu, sebanyak 924 kes narkotik direkodkan dengan tangkapan membabitkan seramai 749 orang.
“Sepanjang menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, saya berbangga kerana tiga tahun berturut-turut indeks jenayah dapat diturunkan dan menepati petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan pihak Bukit Aman.
“Ini adalah hasil usaha keras semua pegawai dan anggota IPD Kemaman di samping kerjasama masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program Perhimpunan Bulanan Bulan Julai di pekarangan IPD Kemaman di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden, Mohd. Haki Hasbullah.
Dalam majlis itu, seramai 81 orang menerima sijil penghargaan masing-masing dengan 35 daripadanya merupakan pegawai dan anggota IPD Kemaman di samping 15 ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan 31 orang awam.
Anugerah itu merupakan yang terakhir disampaikan oleh Mohd. Said sebelum bertukar ke IPD Seremban, Negeri Sembilan sebagai Ketua Polis Daerah dengan memangku pangkat Asisten Komisioner pada pertengahan bulan ini. – UTUSAN ONLINE











