PDRM tahan Raja Dadah - Utusan Malaysia

PDRM tahan Raja Dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH – Seorang individu yang dikenali sebagai ‘kingpin’ (raja dadah) antara yang ditahan daripada lima serbuan serentak yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd berkata, individu merupakan salah seorang daripada lima suspek yang bergiat aktif dalam sindiket dadah yang menyasarkan pasaran di dalam dan luar negara.

“Lelaki warganegara tempatan  berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan yang bermula pada pukul 5 petang hingga pukul 6.20 petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lelaki tersebut dipercayai mempunyai peranan penting dan menduduki hierarki tertinggi dalam sindiket tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.

Mohd. Khalil menambah, empat suspek lain yang ditahan berusia 32 hingga 48 tahun dengan seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis turut merampas dadah syabu seberat 64.5 kilogram (kg), ketamin (2.7kg), 77,500 biji pil ekstasi dan 57 paket minuman disyaki mengandungi dadah.

“Dadah berkenaan dipercayai diperoleh daripada Eropah, ‘Golden Triangle’ (Thailand, Laos dan Myanmar) yang dibekalkan untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Pihaknya turut menyita lima buah kenderaan dan wang tunai dalam pelbagai mata wang, jam tangan dan barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM444,000.

Dalam operasi berasingan, polis turut membongkar kewujudan sebuah makmal haram yang memproses dadah ketamin di Melaka dan melancarkan empat lagi serbuan di sekitar ibu negara.

“Seramai 13 individu yang juga ahli sindiket ditahan yang terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita warganegara tempatan berusia 19 hingga 51 tahun.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati sembilan orang daripadanya positif dan tiga lagi mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya lagi, turut dirampas, 13.4kg dadah jenis ketamin, syabu seberat 592 gram, 57 biji pil ekstasi, tujuh biji pil erimin 5 dan beberapa bahan kimia untuk memproses dadah dianggarkan bernilai RM836,000.

“Kita turut menyita tujuh kenderaan dan tiga utas jam tangan berjenama mewah.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM3,200 dan pelbagai barangan kemas dan elektronik dengan hasil nilai keseluruhan sitaan bernilai RM320,000,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini