MELAKA 4 Julai – Sebanyak 18 buah ken-deraan berat ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia kerana kesalahan membawa lebih muatan, di susur keluar Plaza Tol Jasin, Merlimau dekat sini awal pagi ini.
Operasi yang diadakan bermula pukul 9 malam hingga 6 pagi itu menahan kesemua kenderaan tersebut yang kebanyakannya membawa muatan pasir sehingga mencecah 108,000 kilogram (kg) dan boleh membahayakan nyawa pengguna kenderaan lain.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, semua kenderaan berat itu dibawa untuk melakukan proses timbang di Kompleks JPJ Melaka, Bukit Katil.
“Bagaimanapun selepas ditimbang, sebanyak 17 buah treler didapati membawa muatan antara 100,000 kg sehingga 108,000 kg, melebihi 100 peratus daripada had yang dibenarkan.
“Operasi dibuat selepas risikan dijalankan kira-kira tiga minggu dan dengan kerjasama pasukan trafik PDRM negeri, satu operasi bagi mengesan treler membawa muatan berlebihan ini dibuat di lokasi yang strategik iaitu 300 meter dari susur keluar Plaza Tol Jasin, Merlimau,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks JPJ Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya.
Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, kesemua treler itu melibatkan kira-kira lima buah syarikat berlainan yang menghantar bekalan dari Kuantan, Pahang dan Banting, Selangor ke lokasi sama iaitu sebuah kilang kaca di Jasin.
Sementara itu, Hasan Basri berkata, dalam operasi itu, sebuah treler pasir dikesan ditinggalkan di tepi jalan oleh pemandunya selepas menyedari operasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
“Polis mendapati seorang pemandu telah melompat keluar dari treler dipandunya dan menyelinap masuk ke dalam kawasan kebun sawit. Bagaimanapun kenderaan itu sempat dikuncinya.
“Kita percaya lelaki itu juga terlibat dalam kesalahan yang sama. Beberapa anggota polis telah ditempatkan di treler tersebut untuk memastikan pemandunya tidak melarikan kenderaan berat itu,” katanya.
Muhammad Firdaus berkata, kesemua kenderaan yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 jika sabit kesalahan.











