LONDON – Juventus sedia membida 120 juta pound (RM612 juta) bagi mendapatkan pemain tengah Manchester United, Paul Pogba lapor media tempatan, The Sunday Times.
Kelab gergasi Itali itu sedia untuk menandatangani semula pemain Perancis tersebut untuk mencabar Liga Juara-Juara selain meninggalkan nilai komersial pasukan.
Difahamkan United tekad untuk mengekalkan pemain berusia 26 tahun itu di Old Trafford berikutan pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer merancang untuk membina semula pasukan.
Bagaimanapun Red Devils bimbang sama ada juara Piala Dunia 2018 itu akan menyertai pasukan atau sebaliknya dalam jelajah pra musim di Ocenia dan Asia Timur.
United akan terbang ke Australia dan menangguhkan pengumuman skuad mereka.
Pogba masih belum lapor diri menyertai latihan pra musim yang telah bermula Khamis lalu sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap pengurusan pasukan.
Bagaimanapun, nama Pogba disenaraikan untuk jelajah pra musim United.
Begitu pun, ejennya, Mino Raiola mencuri perhatian kelab Eropah apabila berkata Pogba dalam proses mahu meninggalkan Old Trafford.
“Semua orang termasuk pengurus dan pemilik kelab tahu hajat Paul. Semua orang tahu keinginan Paul untuk berpindah. Kami dalam proses,” kata Raiola.
United menilai Pogba sebanyak 150 juta pound (RM777 juta) dan nilainya lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh Real Madrid dan Juventus. – AGENSI











