PUTRAJAYA – Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) hari ini menghantar memorandum kepada Wisma Putra memohon saluran diplomatik digunakan bagi mengesan isteri seorang tukang paip yang dilaporkan hilang di sebuah perkampungan di Papanasam, Tamil Nadu, India sejak 29 Jun lepas.
Presiden Kebangsaan IRIMM Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, laporan polis telah dibuat berhubung kehilangan Habibnuneesa Mohd./ Ismail, 36, di Tamil Nadu, namun tiada sebarang perkembangan lanjut dilaporkan sehingga hari ini.
“Banyak berita dalam akhbar dan saluran lain mengenai kehilangannya dikeluarkan tapi kami tidak mendapat apa-apa jawapan dari mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita sebelum menyampaikan memorandum itu kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang diterima seorang wakil Wisma Putra di sini.
Turut hadir suami Habibnuneesa, Mahmud Rahman Shariff, 47, dan dua anaknya berumur empat dan sembilan tahun.
Menurut Mahmud Rahman, isterinya, yang juga rakyat Malaysia, bersama kakak iparnya dan seorang anak kakak iparnya bertolak dari Malaysia pada 24 Jun lepas bagi melawat saudara mara di sebuah kampung bernama Pandaravadai, Papanasam, Tamil Nadu, namun lima hari kemudian, beliau dimaklumkan oleh kakak iparnya bahawa Habibnuneesa telah hilang dari rumah.
Bimbang keselamatan isterinya, Mahmud Rahman telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Behrang, Perak pada 1 Julai lepas. – Bernama











