PARIS – Neymar gagal menghadirkan dirinya ke latihan pra musim bersama Paris Saint-Germain (PSG) semalam dan juara Ligue 1 itu mengumumkan mereka bakal mengambil tindakan sewajarnya.
“Pada Isnin, 8 Julai, Neymar da Silva Santos Junior sepatutnya kembali menyertai aktiviti pra musim bersama skuad senior PSG.
“PSG dimaklumkan bahawa Neymar tidak hadir pada masa dan tempat seperti yang dijanjikan. Perkara ini dilakukan diluar pengetahuan kelab.
“Kelab kesal dengan situasi ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” kata PSG dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun situasi berbeza di Brazil apabila media tempatan memberitahu ayah Neymar mendakwa kelab Perancis itu sudah pun dimaklumkan bahawa anaknya tidak dapat hadir ke latihan pra musim tersebut.
“Alasa (tidak hadir) sudah diketahui dan dirancang untuk setahun bagi memberi laluan aktivitinya di Institut Neymar (yayasan amal).
“Kami tidak boleh menangguhkannya dan dia akan balik (ke PSG) pada 15 Julai ini.
“Itu sahaja, tiada apa-apa drama. PSG pun sudah tahu dengan akiviti yayasan tersebut,” kata ayahnya, Neymar Senior.











