KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan sesuatu yang mustahil untuk kesemua 10 negara anggota ASEAN menjadi hos bersama Piala Dunia 2034.
Jelasnya, idea tersebut pasti mendapat tentangan di peringkat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terutamanya daripada pasukan gergasi seperti Korea Selatan dan Jepun, memandangkan jumlah tersebut berpotensi menafikan hak mereka untuk bertanding pada kejohanan itu.
Beliau berkata proses bidaan melibatkan tiga atau sekurang-kurangnya empat negara, dilihat paling sesuai sekiranya ASEAN serius ingin menganjurkan kejohanan bola sepak paling berprestij tersebut.
“Tidak mungkin 10 negara boleh membida (menjadi hos bersama), kalau tiga atau empat negara sahaja itu sesuai, kerana selebihnya perlu diberikan kuota kepada negara lain.
“Perlu ingat apabila menjadi hos bersama Piala Dunia ini, sebagai contoh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexcio bagi edisi 2026, automatik mereka akan bertanding.
“Di ASEAN berbeza sedikit dan tidak mungkin sekiranya 10 negara boleh membida sekali (menjadi hos bersama).
“Ini kerana jika bida, mereka nak juga bertanding dan slot kita (AFC) selepas edisi 2026 adalah lapan campur satu (hos). Sekiranya lima atau enam negara pun, Jepun dan Korea Selatan tidak akan benarkan dan tidak bersetuju. Itu yang saya faham,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Hari Raya FAM bersama penaja dan media di Wisma FAM di sini, hari ini.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, 23 Jun lepas, Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha berkata kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.
Khamis lepas, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan kerajaan Malaysia ketika ini berpegang teguh, mahu membida Piala Dunia 2034 bersama negara ASEAN lain.
Sementara itu, Hamidin menjelaskan kerjasama yang baik antara kerajaan dan badan induk bola sepak negara itu amat penting dalam usaha membida kejohanan berprestij dunia itu.
Beliau berkata faktor kewangan memainkan peranan penting dan kerjasama antara kerajaan dengan FAM adalah bagi memastikan Malaysia, menepati standard tinggi penganjuran Piala Dunia ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Apabila badan induk (bola sepak sesebuah negara) itu berminat maksudnya kerajaannya pun berminat kerana mana-mana negara nak membida perlukan sokongan daripada kerajaan. Bukan sahaja dari segi jumlah kewangan yang banyak, tetapi juga dari aspek kemudahan, keselamatan dan kesihatan pun mesti tepati standard FIFA.
“Mungkin itu (kewangan) tidak jadi masalah seperti kos diperlukan untuk membina atau menaik taraf stadium dan fasiliti lain.
Jadi kedua-dua (kerajaan dan badan induk bola sepak) perlu ada kerjasama yang baik supaya dapat bergerak seiring,” katanya. – UTUSAN ONLINE











