KUALA LUMPUR – Leong Mun Yee sudahpun memahat sejarah apabila bakal menjadi atlet Malaysia paling banyak beraksi dalam Sukan Olimpik selepas melayakkan diri ke temasya Tokyo 2020.
Kejayaan meraih pingat perak bersama Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama wanita pada Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan kelmarin memberikan tiket Olimpik kelima buat penerjun kelahiran Perak itu selepas membuat penampilan sulung di Sydney 2000.
Bagaimanapun, Mun Yee, 35, tidak pernah meraih pingat dalam empat penampilan terdahulu dan berharap Tokyo akan membawa tuah buatnya, apatah lagi ia mungkin Olimpik terakhirnya.
“Menakjubkan dan sangat gembira kerana sebelum ini banyak kesukaran yang dihadapi ketika melakukan persiapan menghadapi kejohanan dunia ini.
“Misi hanyalah layak ke Olimpik dan untuk itu kami perlu meraih kedudukan tiga terbaik. Kami berjaya dapat perak.
“Selepas layak, misi seterusnya adalah cuba mendapatkan pingat (Olimpik). Saya sedar bukan mudah tetapi keajaiban pasti berlaku dan saya akan bekerja keras untuk itu.
“Selagi saya mampu saya akan terus berjuang mengharumkan nama negara,” kata Mun Yee kepada Utusan Malaysia.
Kedua-dua penerjun hanya membuat persediaan singkat dalam tempoh tidak sampai sebulan berlatih bersama, justeru meraih perak memberi seribu makna buat Mun Yee dan Pandelela.
Pandelela, 26, yang merupakan pemenang pingat perak 10m platform seirama dalam Olimpik 2016 bersama Cheong Jun Hoong berkata, pujian perlu diberikan kepada Mun Yee kerana melakukan terjunan terbaik.
“Saya dan Mun Yee hanya berlatih bersama tiga minggu di China. Latihan memang teruk tapi macam ajaib apabila semua terjunan kami menjadi.
“Terima kasih Mun Yee kerana berusaha melakukan yang terbaik lebih baik daripada latihan,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan peningkatan dalam pencapaian Pandelela dan Mun Yee selepas mereka meraih pingat gangsa dalam dua edisi sebelum ini iaitu di Rom 2009 dan Barcelona 2013.
Kali terakhir mereka bergandingan adalah dua tahun lalu. Pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, Mun Yee bergandingan dengan penerjun muda, Nur Dhabitah Sabri selepas Pandelela mengalami kecederaan. Pasangan itu meraih pingat gangsa.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam Kejohanan Dunia yang berlangsung dua tahun sekali adalah menerusi Jun Hoong yang muncul juara 10m platform individu wanita di Budapest 2017 .











