KUALA LUMPUR 2 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja berhubung pelaksanaan Gagasan Negara Rahmah dalam pentadbiran negara di Istana Negara di sini hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan gagasan itu merupakan keputusan paling besar yang dicapai semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada bulan lalu.
Jelasnya, hasil mesyuarat yang diputuskan dalam MKI akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja melalui mesyuarat ‘pre-council’.
“Mesyuarat ‘pre-council’ dihadiri oleh sembilan wakil Raja-Raja Melayu dan saya sudah menyampaikan taklimat (kepada Baginda semua) tentang salah satu keputusan paling besar iaitu persetujuan MKI dalam Gagasan Negara Rahmah.
“Negara Rahmah inilah yang kita sebut sebagai Rahmatan Lil Alamin dan banyak soalan telah diajukan tadi. Alhamdulillah, selalunya perkara ini akan dibawa ke ‘full-council’ untuk didengar dahulu sebelum disahkan di sana. Maka, pentadbiran Islam di bawah gagasan pentadbiran baharu ini akan menjadi acuan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dengan enam institusi awam dan swasta di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Tokoh Akademik Negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL, Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Yaakub.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, selain isu gagasan negara tersebut, Majlis Raja-Raja juga turut disembah maklum mengenai keputusan fatwa yang sudah diputuskan oleh MKI sebelum ini.
“Antaranya seperti keputusan fatwa mengenai pemindahan organ serta isu kelompok yang membahayakan kepada negara dengan mempergunakan Islam sebagai alasan perjuangan.
“Kita telah sembah maklum untuk tindakan dan semua ini terletak di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











