Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyuarakan keraguan dengan penjelasan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan rasmi beliau pada 24 Julai lalu dan yang beliau ulangi di Sarawak hari ini bahawa ‘pertemuan tertutup’ enam pemimpin DAP dengan beliau 22 Julai lalu adalah inisiatif Ahli Parlimen DAP untuk mendapatkan penjelasan berhubung syarat-syarat dan prosedur permohonan kewarganegaraan’ serta tiada istilah ‘pintu belakang’ atau layanan istimewa diberikan kepada mana-mana pihak dalam memberikan status kewarganegaraan.
Namun terdapat beberapa faktor yang mencetuskan keraguan daripada penjelasan Muhyiddin, antaranya:-
Penjelasan berhubung syarat-syarat dan prosedur permohonan kewarganegaraan telah diberikan dari semasa ke semasa secara terbuka oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk melalui sidang Parlimen, justeru adakah pertemuan sedemikian masih diperlukan?
Penjelasan Muhyiddin ini juga bercanggah dengan kenyataan seorang Ahli Parlimen Segambut yang turut serta dalam pertemuan itu, Hannah Yeoh, bahawa Menteri Dalam Negeri telah memberikan respon yang positif dan mengemas kini usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh KDN untuk menyelesaikan isu-isu kewarganegaraan yang menggambarkan bahawa wujud tekanan daripada pihak DAP kepada KDN supaya isu kewarganegaraan diselesaikan segera.
Muhyiddin perlu mengakui bahawa beliau menerima tekanan daripada DAP berhubung isu-isu kewarganegaraan. Ini dapat dilihat dalam kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong Wui Wui pada 15 Mac lalu bahawa beliau bersama-sama Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen menemui Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad bagi memastikan kelulusan kepada kes-kes permohonan kewarganegaraan dari Sarawak diluluskan dalam masa paling cepat.
Tekanan daripada DAP berhubung isu-isu kewarganegaraan juga dapat dilihat melalui kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Parlimen yang berkali-kali mahukan Menteri Dalam Negeri menggunakan budi bicara yang didakwa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan termasuk supaya beliau meluluskan permohonan kewarganegaraan ‘dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut’.
Pengakuan Violet Yong bahawa pertemuan pemimpin DAP dengan KDN adalah bertujuan untuk memastikan kelulusan kepada kes-kes permohonan kewarganegaraan diluluskan dalam masa paling cepat dan tekanan Koo Ham supaya Menteri Dalam Negeri menggunakan budi bicara untuk meluluskan permohonan kewarganegaraan ini adalah antara petunjuk jelas bahawa DAP berusaha mendapatkan kewarganegaraan melalui pintu belakang!
Dakwaan Hannah bahawa saya rasis dan anti bukan Melayu manakala DAP pula berjuang melangkaui batas bangsa dan agama pula adalah tidak berasas sama sekali! DAP lah yang sebenarnya rasis kerana menjadikan perjuangan isu-isu kewarganegaraan ini hak eksklusif pemimpin bukan Melayu, bukan Islam melalui pertemuan dan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh DAP yang sepenuhnya dihadiri dan dianggotai oleh pemimpin bukan Melayu bukan Islam DAP!
Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO menggesa agar Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri tidak sesekali tunduk dengan tekanan DAP dan kekal tegas dengan segala prosedur dan syarat-syarat yang sedia ada berhubung dengan kewarganegaraan.
DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.











