PUTRAJAYA – Bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd. Noor menarik diri secara sukarela daripada Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat kes kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat atas rasa tanggungjawab Mokhtar untuk memelihara integriti dan ketelusan PPK ekoran tindakan pihak tertentu yang mempersoalkan kesesuaian keanggotaan beliau dalam pasukan berkenaan.
“Beberapa pertubuhan bukan kerajaan mempersoalkan pelantikan beliau sebelum ini kerana beliau dipercayai terbabit secara langsung dalam kedua-dua kes kehilangan Raymond Koh dan Amri.
“Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali kerana beliau bukan saksi atau pegawai yang menyiasat kedua-dua kes ini,” katanya di sini hari ini.
KDN menjelaskan, pelantikan Mokhtar dibuat berdasarkan profesionalisme dan kepakaran sebagai bekas Ketua Bahagian Perundangan PDRM yang mempunyai pengetahuan luas berkaitan isu perundangan PDRM bagi membolehkan beliau membantu PPK menjalankan fungsinya.
“KDN mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau di atas komitmen untuk membantu mencari keadilan kepada keluarga mangsa kehilangan selain kesanggupan untuk mengambil kira pandangan awam mengenai keahlian beliau dalam PPK supaya tidak menjejaskan kredibiliti siasatan dan hasil laporan yang akan dikemukakan nanti.
“Pelantikan ahli baharu PPK sebagai pengganti beliau akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan tidak boleh memuaskan hati semua pihak dalam isu pelantikan enam ahli PPK berikutan terdapat segelintir pihak melahirkan rasa tidak puas hati dengan komposisi keanggotaannya.
Pada 26 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan enam anggota pasukan itu yang diketuai Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd. Rahim Uda.
Selain Abd. Rahim dan Mokhtar, pasukan itu turut dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Zamri Yahya dan Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Datuk Muhammad Bukhari Abd. Hamid.
Dua individu lain ialah Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd. Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis, Kementerian Dalam Negeri, Mohd. Russaini Idrus. – K! ONLINE











