KUALA LUMPUR 1 Julai – Islam melarang umatnya mengisytiharkan harta kepada orang ramai kerana ia boleh mengundang perasaan dengki.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, atas prinsip tersebut parti itu menolak usul mewajibkan semua ahli Parlimen termasuk pembangkang, mengisytiharkan pendapatan dan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Dalam Islam ada hadis, kalau Tuhan beri harta jangan heboh kepada orang ramai kerana pendengkinya ramai.
“Selain itu ia melibatkan soal keselamatan, apabila isytihar harta, ke atas individu dan keluarga,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut mempersoalkan tujuan usul itu dilakukan kerana negara ini jelas mempunyai undang-undang berhubung harta dan pendapatan seseorang.
“Apa asas isytihar harta, negara kita ada undang-undang, ada undang-undang cukup, lagipun semua hasil mesti dilaporkan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Tidak ada keperluan ada akta itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











