LANDSKAP politik negara telah banyak berubah sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan pengundi muda memilih untuk menyokong sebuah kerajaan baharu yang belum pernah memerintah Malaysia.
Selepas membuat keputusan itu, tumpuan anak muda sekarang sepatutnya adalah untuk merangka pelan tindakan bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang membelenggu golongan itu.
Dalam merangka pelan tindakan itu, mereka seharusnya lebih banyak belajar daripada golongan dewasa yang telah terlebih dahulu melalui pelbagai pengalaman.
Antara masalah yang membelenggu belia adalah dalam bidang ekonomi membabitkan pengangguran dan gaji rendah. Dari segi sosial, dapatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati anak muda yang bercerai sekarang semakin banyak dengan 156 kes sebulan atau hampir enam kes sehari. Diramalkan pada 2020 nanti, jumlah itu akan meningkat hampir sekali ganda kepada 320 kes sebulan.
Untuk memastikan masalah ini tidak berterusan, kita hendaklah memberi tumpuan untuk melahirkan generasi rabbani. Satu generasi yang dalam diri mereka ada unsur-unsur ketuhanan.
Selain itu, tumpuan harus diberikan bagi melahirkan belia yang tidak lagi menjadikan wang dan pangkat sebagai matlamat utama tetapi yang dipentingkan mereka adalah kepuasan dalam bekerja dan dapat memberikan manfaat kepada orang lain.
Bagi melahirkan generasi rabbani, kita harus memastikan seramai 60% rakyat Malaysia yang menganut Islam melihat agama itu yang mengatur hidup mereka secara holistik.
Kita akan menghadapi bencana sekiranya masyarakat Islam melihat agama hanyalah berkaitan soal akhirat dan tiada hubung kait langsung dengan hal ehwal keduniaan.
Cabaran dihadapi generasi rabbani datang daripada golongan sekular yang memisahkan soal agama dengan keduniaan. Mereka yang berpegang kepada fahaman sekularisme hanya menerima ilmu dunia dan menolak hal agama. Mereka yang belajar agama dan tidak mengambil dunia juga boleh dianggap sekular.
Dalam pada itu, satu lagi isu yang menjadi kerisauan saya adalah terdapat dalam kalangan lulusan universiti yang hanya bergantung semata-mata kepada segulung ijazah atau diploma yang mereka peroleh dan kebanyakan tidak mempunyai perancangan hidup. Lulusan ini juga kosong dengan elemen kerohanian.
Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana syarikat-syarikat di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) pada hari ini telah meletakkan elemen kerohanian sebagai pertimbangan utama untuk memilih pekerja dan rakan kongsi dalam entiti perniagaan serta bukan lagi dari sudut sumbangan dana yang boleh diberikan.
Ini kerana kerohanian yang memberi kekuatan kepada kita. Generasi baharu dan lama seharusnya meletakkan kerohanian sebagai satu unsur yang cukup penting dalam mengawal kecerdasan dan emosi mereka.
Saya juga berpendapat dalam membina Malaysia Baharu, kerajaan perlu memperkenalkan satu modul kerja yang jelas yang boleh dikenali sebagai ‘Pengurusan Kerja Islamik’, ‘Etika Kerja Islamik’ atau apa sahaja yang meletakkan setiap tindakan kita itu mesti ada unsur-unsur ketuhanan yang berpandukan kepada al-Quran.
Saya ada melakukan kajian membabitkan 400 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melibatkan penilaian secara komprehensif selama tiga tahun dengan cuba meletakkan nilai-nilai kerohanian dalam urusan perniagaan.
Apabila kita meletakkan good governance yang ada nilai ketuhanan dalam syarikat maka akan lahir pekerja mempunyai sikap cukup bagus dan impaknya akan dapat menambah keuntungan syarikat.
Inilah Malaysia Baharu yang kita inginkan iaitu keseimbangan antara hidup dan kerja (work-life balance). Dari sudut keusahawanan, ia boleh melahirkan usahawan yang berdikari, kuat bekerja dan mampu memberi manfaat kepada orang lain.
DATUK SHAKIR HUSEIN KHALID ialah Pengarah Urusan Shamawar Group.











