KANGAR – Polis mendedahkan suspek terakhir kes bakar kenderaan rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dikenali sebagai Mee Tomoi yang ditahan pada 6 Julai lalu sebenarnya diupah untuk menyimbah asid ke muka Mufti Perlis itu.
Suspek yang berusia 49 tahun bagaimanapun dikatakan tidak sampai hati dan membuat keputusan untuk membakar kenderaan rasmi jenis Honda Accord dalam kejadian pada Mac lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, kes bakar kenderaan Mufti Perlis selesai susulan penahanan Mee Tomoi.
“Siasatan masih diteruskan termasuk mengenal pasti pihak ketiga yang didakwa mengupah Mee Tomoi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya masih menyiasat motif utama kejadian tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia berkaitan perasaan tidak puas hati dan dendam.
“Suspek masih dalam tahanan reman sehingga esok dan kita akan memohon tempoh reman disambung lagi,” ujarnya.
Noor Mushar turut mendedahkan suspek sama turut disyaki terlibat dalam kes tetak Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Dr. Hazman Hassan pada tahun lalu.
“Mangsa mengecam suspek dalam kawad cam yang dilakukan baru-baru ini,” katanya.
Kosmo! pada 7 Julai lalu melaporkan seorang lagi suspek kes bakar kenderaan rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang diburu sejak Mac lalu dikenali sebagai Mee Tomoi akhirnya berjaya diberkas.
Suspek yang merupakan seorang peniaga baju ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Sekolah, Merbau Pulas, Kuala Ketil, Kedah kira-kira pukul 4 pagi, 6 Julai lalu. -K! ONLINE











