KUCHING – Sarawak masih berpeluang untuk beraksi dalam saingan Liga Perdana 2020 walaupun menduduki tangga ke-11 Liga Premier musim ini dengan hanya melakar empat kemenangan, empat seri dan 12 tewas dengan mengumpul 16 mata keseluruhan.
Ini kerana berdasarkan format Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) , dua pasukan di tempat tercorot Liga Perdana musim ini perlu melalui perlawanan playoff berdepan juara serta naib juara Liga M3 2019 bagi penentuan penyingkiran dan pasukan yang dinaikkan pangkat bagi kedua-dua liga berkenaan.
Menurut sumber terdekat MFL, pasukan yang menjuarai Liga M3 musim ini tidak perlu melalui perlawanan playoff menentang Perlis kerana sudah mendapat tempat secara automatik ke saingan Liga Perdana musim hadapan.
“Hanya Sarawak yang akan beraksi perlawanan ‘play-off’ dan akan bertemu pasukan yang menjadi naib johan Liga M3 musim ini bagi mengisi slot ke Liga Premier 2020 dan tarikhnya akan diumumkan nanti,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan malam ini (semalam), Penolong Jurulatih Sarawak, Mohamad Denny Da’ail berkata, kemenangan 3-1 yang dicatat ke atas Selangor United disifatkan amat bermakna dalam membentuk kembali keyakinan pasukan.
“Pada perlawanan hari ini kita melihat semua pemain terutamanya pemain muda berusaha untuk mencapai kemenangan dan mereka membuktikannya.
“Saya juga mengharapkan Sarawak dapat kekal dalam saingan Liga Premier 2020 dan dapat memanfaatkan perlawanan playoff itu nanti,” katanya selepas perlawanan.
Pada perlawanan semalam, penyerang skuad Ngap Sayot, Bobby Gonzalez cemerlang meledak dua gol untuk membantu Sarawak mencatat kemenangan 3-1 ke atas pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang itu. – BERNAMA











