Malaysian Tigers tidak gentar - Utusan Malaysia

Malaysian Tigers tidak gentar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pemain tengah skuad hoki negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil mengakui tidak menjadi masalah jika mereka terpaksa berdepan pasukan yang lebih handal dalam aksi playoff kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemain berusia 29 tahun dari Muar itu berkata, skuad Malaysian Tigers akan mengerahkan segala kudrat dalam usaha menjayakan misi melayakkan diri ke temasya berprestij dunia itu selepas 20 tahun.

“Bagi saya itu tiada masalah untuk kami cuba sedaya upaya, dan kami akan cuba yang terbaik untuk layak ke Olimpik, walaupun kita jumpa dengan pasukan-pasukan kuat. Kita buat persiapan rapi dari sekarang, untuk mempamerkan aksi terbaik November nanti,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semalam, ketua jurulatih Roelant Oltmans berkata Malaysia yang menduduki ranking ke-12 dunia, berkemungkinan besar bakal berjumpa dengan salah negara iaitu Jerman (7), New Zealand (8), Sepanyol (9) atau Kanada (10) pada pusingan kelayakan terakhir Olimpik, November ini.

Mengulas lanjut, Marhan berkata bahagian serangan skuad itu juga menunjukkan peningkatan selepas seminggu berguru dengan bekas penyerang handal Australia, Michael McCann.

“Dari segi serangan, posisi dan keserasian antara pemain di dalam kotak D nampak meningkat dan kita akan tengok ketika jelajah Eropah, adakah situasi itu baik dan positif serta adakah perlu ditingkatkan,” katanya.

Skuad Malaysian Tigers akan berlepas ke Eropah pada 21 Julai ini bagi mengadakan beberapa perlawanan ujian dan persahabatan dengan pasukan Jerman, Sepanyol, Belanda, Belgium, England dan Ireland, sebagai persiapan menghadapi saingan kelayakan terakhir Olimpik.

Selepas jelajah Eropah, skuad negara akan mengambil bahagian dalam perlawanan ujian pra-Olimpik di Tokyo dengan pasukan Jepun, Australia dan New Zealand dari 19 hingga 23 Ogos ini.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini