KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Roelant Oltmans yakin, Malaysian Tigers mampu terus mencatat kenaikan dalam ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Dalam senarai terkini sehingga akhir Jun, Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan ke-12 dunia dengan mengumpul 1,173 mata apabila memperolehi 400 mata selepas menjadi naib juara Siri Akhir FIH di Kuala Lumpur.
Malaysia kini hanya dibezakan oleh 20 mata di belakang Ireland yang menduduki tangga ke-11 (1,193) dan 152 mata berbanding pasukan tangga ke-10, Kanada (1,325).
Roelant yakin pasukan kendaliannya akan memperbaiki kedudukan mereka apabila FIH memasukkan mata peringkat benua pada September selepas ke semua kejohanan.
Katanya, Malaysia dijangka menambah 585 mata lagi selaku pemenang pingat perak Sukan Asia 2018.
“Jika kita menang perlawanan akhir (Siri Akhir FIH) menentang Kanada, kenaikan yang dialami pasti lebih tinggi. Apa pun, ia tetap sesuatu yang positif berjaya memperbaiki ranking.
“Seya percaya selepas tamat semua kejohanan peringkat benua, kita akan terus mencatat kenaikan.
“Kita tidak terlalu jauh di belakang Ireland dan saya rasa, kita akan dapat lebih banyak mata benua berbanding Ireland, kecuali mereka lakukan kejutan besar dalam Kejohanan Eropah.
“Sasaran utama kita ialah untuk menjadi pasukan lapan terbaik dunia. Kita belum mencapainya, tetapi tidak terlalu jauh,” katanya kepada pemberita ketika sesi latihan di Stadium Hoki Bukit Jalil di sini hari ini.
Dalam senarai ranking terkini dikeluarkan semalam, Australia kembali di tangga teratas mengatasi Belgium, diikuti Belanda dan Argentina di tempat kedua dan ketiga. India pula berada di tempat kelima.
Dalam perkembangan lain, Roelant berharap bekas legenda Australia, Michael McCann dapat membantu jentera serangan Malaysia meningkatkan kadar gol, ketika latihan bersama selama seminggu bermula hari ini.
“Kami telah berbincang bersama, apa yang kami mahu dapatkan hasil latihan minggu ini bersama McCann dan saya rasa kita akan mempunyai satu program yang amat baik minggu ini.
“Matlamat utama ialah untuk mendapatkan lebih banyak gol dan pada pandangan saya, kita telah wujudkan banyak peluang gol, namun kita tidak menjaringkan gol yang secukupnya.
“Kami berharap beliau akan kembali pada masa hadapan, ia sesuatu yang penting (untuk pasukan) dan pemain mendapat pelajaran yang baik,” kata jurulatih dari Belanda itu.
McCann, 42, yang memenangi pingat emas Olimpik (2004) dan dua pingat perak Piala Dunia (2002 dan 2006) bersama Australia, telah menjaringkan 72 gol dalam 165 penampilan bersama pasukan Kookaburras. – BERNAMA











