KUALA LUMPUR – Malaysia bermula garang dalam Kejohanan Hoki Piala Asia Dalam Dewan Asia 2019 apabila skuad lelaki dan wanita melakar kemenangan besar pada saingan peringkat kumpulan di Chonburi, Thailand hari ini.
Dalam saingan Kumpulan A lelaki, pasukan negara yang pernah bergelar naib juara empat kali membuka langkah dengan membelasah pendatang baharu, Bangladesh 6-0.
Shafiq Yaacob muncul wira Malaysia apabila meledak hatrik manakala Faridzul Mohamad menjaringkan dua gol. Satu lagi jaringan Malaysia disempurnakan Shello Silverius.
Malaysia akan menentang Filipina dalam aksi kedua esok dikuti juara bertahan, Iran pada Khamis sebelum melengkapkan jadual peringkat kumpulan dengan menentang tuan rumah, Thailand, Jumaat ini.
Dalam saingan wanita, Malaysia yang pernah muncul juara pada 2009 membenam Singapura 4-0 untuk mengungguli Kumpulan B.
Skuad wanita akan berdepan tuan rumah Thailand, Rabu ini dan melengkapkan jadual peringkat kumpulan dengan menentang Taiwan pada Khamis.
Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Skuad wanita turun dengan misi muncul juara manakala pasukan lelaki menetapkan sasaran mara ke final bagi memburu tiket ke Kejohanan Piala Dunia 2021. – UTUSAN ONLINE











