KEMAMAN – Sebuah lori tiga tan dengan muatan minuman kotak dan susu tin terbalik selepas dirempuh sebuah lori kontena di kilometer 316.1 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Kerteh, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.10 pagi itu menyebabkan minuman berkenaan bertaburan di atas jalan raya, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, sebelum kejadian lori kontena jenis Isuzu yang dipandu SS. Pahirselvam, 35, dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kerteh dikatakan hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori jenis Daihatsu.
“Akibat rempuhan tersebut lori yang dipandu S. Alagedhiran, 46, yang berada di hadapan terbabas dan terlanggar penghadang jalan sebelum terbalik.
“Sehubungan itu, pihak LPT2 terpaksa menutup satu lorong laluan bagi memudahkan kerja-kerja mengangkat lori berkenaan,” katanya.
Mohd. Said berkata, punca kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59. – UTUSAN ONLINE











