Lima warga Vietnam ditahan palsukan cop keselamatan Imigresen - Utusan Malaysia

Lima warga Vietnam ditahan palsukan cop keselamatan Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 19 Julai – Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket pemalsuan cop keselamatannya dengan penahanan lima individu melibatkan dua lelaki dan tiga wanita warganegara Vietnam ketika serbuan di sebuah kondominium di Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket tersebut didalangi seorang wanita berumur 51 tahun bersama adik perempuannya yang berumur 46 tahun.

“Kedua-dua mereka giat menjalankan aktiviti haram sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu dengan menyasarkan warganegara Vietnam yang mempunyai masalah untuk pulang ke negara asal atas faktor tinggal lebih masa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kebanyakkan pelanggan terdiri daripada mereka yang masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) tetapi tidak pulang selepas PLS tamat dan terus bekerja di negara ini secara haram,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil serbuan turut menemukan lapan cop keselamatan Jabatan Imigresen yang dipalsukan iaitu cop keluar dan masuk.

Turut dijumpai katanya, satu unit komputer riba, 61 pasport milik warganegara Vietnam dan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek utama cuba menghapuskan bukti dengan mencampakkan kesemua cop-cop Imigresen palsu yang disumbat ke dalam patung beruang panda ke bawah dari tingkat 13 kondominium tersebut.

“Kesemua suspek ditahan di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan pas, Seksyen 56(1)(I) akta sama iaitu menggunakan pas yang dipalsukan dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kebenaran yang sah,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini