KUANTAN – Skuad Tok Gajah tetap memburu tiga mata di laman sendiri berdepan Melaka United malam ini biarpun sudah dinobatkan sebagai naib juara Liga Super 2019.
Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pasukannya akan memastikan kemenangan menjadi milik mereka demi maruah bola sepak skuad Tok Gajah.
“Walaupun perlawanan ini sekadar melengkapkan jadual untuk kami tetapi tidak bagi Melaka United kerana mereka sedang merebut tempat ketiga.
“Melaka United, Selangor dan Kedah bakal berentap untuk menentukan pasukan mana yang akan menduduki tangga ketiga Liga Super musim ini,” katanya.
Menurutnya, pasukan tidak boleh beraksi sambil lewa kerana setiap perlawanan bertujuan menguji prestasi setiap pemain.
“Saya harap semua pemain dapat melakukan yang terbaik dan kita juga mahu penyokong hadir memberi sokongan di stadium,” jelasnya. – K! ONLINE











