MARAN – Felda United kekal dalam saingan Liga Super musim depan setelah mengutip tiga mata membelasah Kedah 5-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka sebentar tadi.
Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi pemain tengahnya, Jocinei Schad seawal minit keenam.
Felda United yang turun dengan misi wajib menang berjaya menambah jaringan hasil gerakan menarik Faiz Mazlan pada minit ke-33 untuk mendahului dengan selesa 2-0.
Pelawat melancarkan beberapa gerakan menarik yang diselangi dengan percubaan bahaya bagaimanapun gagal mendapatkan sebarang jaringan pada separuh masa pertama.
Thiago Aquino hampir menjaringkan gol ketiga untuk tuan rumah pada minit ke-60 namun tandukannya hanya singgah di palang gol.
Kedah terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Renan Alves diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-75.
Kekurangan seorang pemain bagaimanapun tidak mematahkan semangat pasukan pelawat apabila Jonathan Bauman berjaya merapatkan jurang hasil tendangan penalti pada minit ke-78.
Penyerang import tuan rumah, Mohamad Khairul Amri Mohd. Kamal menceriakan penyokong Felda United apabila meledakkan gol ketiga pada minit ke-84.
Impian Felda United untuk kekal dalam Liga Super menjadi kenyataan apabila Jasazrin Jamaludin dan Kei Ikeda menjaringkan gol keempat dan kelima pada masa tambahan dua minit sebelum tamat perlawanan. – K! ONLINE











