PULAU PINANG 19 Julai – Berpunca daripada tekanan perasaan kerana sikap isterinya yang sering mengongkong, seorang lelaki bertindak terjun dari sebuah feri yang dalam perjalanan dari bahagian pulau menuju ke Butterworth semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 petang itu, mangsa berusia 36 tahun sempat diselamatkan selepas kejadian itu disedari orang ramai yang berada di atas feri.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, lelaki tersebut yang tinggal di Puchong, Kuala Lumpur dan merupakan bapa kepada dua orang anak telah menaiki bas untuk pulang ke Butterworth.
“Dia kemudiannya menaiki feri yang menuju ke bahagian pulau bagaimanapun dia tidak turun dan tetap berada di atas feri yang berpatah balik ke Butterworth.
“Namun apabila sampai di perairan berdekatan Butterworth, dia didapati terjun dari tingkat atas di bahagian belakang feri,” katanya di sini hari ini.
Menurut Noorzainy kapten feri yang menerima maklumat daripada saksi segera menghubungi menara kawalan Pelabuhan Pulau Pinang sebelum dia segera diselamatkan.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kepala Batas dan dilaporkan stabil,” katanya.
Noorzainy berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati lelaki itu bertindak sedemikian akibat tekanan perasaan.
“Punca kejadian disebabkan mangsa tidak tahan dengan tekanan berkaitan hal keluarga serta isteri.
“Mereka dikatakan kerana kerap bergaduh dan kerana isterinya selalu mengongkong. Dia juga mempunyai masalah perniagaan,” katanya.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri. – UTUSAN ONLINE











