LUMUT – Seorang lelaki warga emas maut manakala cucunya cedera parah apabila motosikal mereka dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Sitiawan -Kayan di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.53 petang itu, mangsa, Lee Eng Fatt, 72, disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kejadian berlaku ketika motosikal jenis Honda EX-5 yang ditunggang oleh mangsa menghala ke arah Sitiawan.
“Mangsa cuba memintas dari kiri ke kanan jalan. Pemandu kereta cuba membrek dan mengelak tetapi tidak sempat kerana jarak yang terlalu dekat lalu melanggar mangsa.
“Akibat kemalangan, mangsa bersama cucu perempuannya yang berusia 11 tahun melambung ke laluan bertentangan.
“Mangsa maut di tempat kejadian manakala cucunya cedera parah pada bahagian kepala dan dirawat Hospital Seri Manjung,” katanya hari ini.
Menurutnya, pemandu kereta hanya mengalami luka pada kedua-dua belah tangan.
Kata Muhammad Hanif, kemalangan berpunca daripada mangsa yang secara cuai cuba melintas jalan sehingga menyebabkan dilanggar sebuah kereta.
Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











