Latihan Malaysian Tigers amat keras - Utusan Malaysia

Latihan Malaysian Tigers amat keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki negara melalui latihan yang cukup keras sebagai persediaan menghadapi pasukan-pasukan terkemuka dunia sepanjang jelajah Eropah bermula 21 Julai ini.

Ketua pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib berkata, latihan sedemikian terbukti membantu meningkatkan prestasi skuad ‘Malaysian Tigers’ itu yang akan berkelana di Eropah sebagai persediaan untuk aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada November ini.

Begitupun beliau menegaskan bahawa tahap perkembangan yang sebenarnya hanya boleh diketahui selepas mengharungi beberapa fasa, termasuk selepas beberapa ujian getir menentang pasukan seperti juara Olimpik sebanyak tiga kali, Jerman, England dan Sepanyol.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita memang kena lanyak di sini dan itu adalah proses yang perlu hadapi. Kita tidak boleh bergantung dengan latihan yang biasa, kita kena lakukan yang luar biasa untuk mampu bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dunia.

“Secara umumnya, apa yang boleh saya katakan ialah kita telah habis tahap di mana kita telah melalui latihan yang cukup keras dan banyak peningkatan berlaku terutamanya dari segi physical fitness, di mana data daripada ISN (Institut Sukan Negara) membuktikannya,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional di sini, hari ini.

Skuad negara yang menduduki ranking ke-12 dunia, dijadualkan berlepas ke Eropah pada 21 Julai ini bagi mengadakan beberapa perlawanan ujian dan persahabatan dengan pasukan Jerman, Sepanyol, Belanda, Belgium, England dan Ireland.

Selepas jelajah Eropah, skuad negara akan mengambil bahagian dalam perlawanan ujian pra-Olimpik di Tokyo dengan pasukan Jepun, Australia dan New Zealand dari 19 hingga 23 Ogos ini, diikuti perlawanan persahabatan di Korea Selatan.

Sementara itu, ketua jurulatih Roelant Oltmans berkata persiapan rapi selama enam minggu itu telah membantu skuad kendaliannya untuk bertemu pasukan-pasukan terbaik Eropah itu.

Melihat pada kemajuan, dalam semua aspek, ‘fitness’ kini jauh lebih baik, dari segi serangan juga lebih baik, struktur pertahanan jelas bertambah baik. Saya senang dengan itu.

“Kami akan bermain melawan penentang yang kuat, dan itulah yang kami mahukan,” kata pengendali dari Belanda itu.

Undian bagi aksi kelayakan Olimpik itu dijangka diadakan selepas kemas-kini ranking dunia pada September ini, di mana Malaysia berkemungkinan besar bakal berhadapan salah satu daripada pasukan Jerman, Sepanyol, New Zealand atau Kanada. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini